Ubah pendekatan lapuk
MINGGUAN: Mungkin Tun boleh nyatakan kenapa Tun dilihat agak menyepikan diri sekian lama?
MUSA : Saya sebenarnya sudah lama tidak mahu diwawancara oleh mana-mana akhbar sama ada media cetak atau media elektronik. Lebih-lebih lagi selepas pilihan raya 2004 dan 2008 kerana saya bosan dengan politik yang berlaku dalam negara. Saya ingin bercakap terus terang, saya bosan dengan apa yang terjadi di kalangan UMNO sendiri yang mana saya sendiri pernah memegang pelbagai jawatan dan menjadi ahli berpuluh-puluh tahun dan masih menjadi ahlinya hingga kini.
Kebosanan saya ini adalah bagaimana kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkecamuk begitu teruk hinggakan kita kalah banyak sama ada di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya berpendapat tidak guna saya mengadakan sebarang wawancara kerana dibimbangi akan menyuarakan kritikan yang keras. Ini kemudiannya pasti akan mendapat bantahan dari ahli-ahli UMNO sebagai seorang ahli yang tidak setia. Ini kerana kesetiaan kepada UMNO adalah sangat penting.
Waktu saya bercanggah pemikiran dengan Tunku Abdul Rahman bersama dengan Dr. Mahathir apabila saya membuat pengumuman untuk berhenti sebagai Timbalan Menteri selepas tahun 1969, saya telah diminta untuk mengangkat sumpah menyatakan kesetiaan kepada Tunku. Tun Razak telah meminta saya pergi berjumpa Tunku meminta maaf dan menyatakan kesetiaan. Tun Razak begitu rapat dan menjaga saya maka saya bersetuju untuk pergi. Tun Razak mahu ikut tetapi saya tidak mahu beliau turut serta. Namun saya akan tetap menyampaikan pendapat saya. Ini prinsip hidup saya.
Apabila saya meletak jawatan, kenyataan saya ialah akan terus setia kepada parti, bangsa dan negara. Tidak saya sebutkan tentang pemimpin. Tidak ada yang peribadi tetapi itu soal prinsip hidup saya. Bagi saya apabila seseorang pemimpin melakukan sesuatu tindakan yang salah dan tidak boleh diterima rakyat, saya tidak akan menyokongnya. Tidak ada istilah absolute loyalty kepada pemimpin bagi saya. Itu prinsip saya dalam politik.
Maka apabila saya melihat keadaan UMNO yang berkecamuk itu saya melihat adalah lebih baik saya mendiamkan diri. Tidak payahlah saya membuat sesuatu yang menarik perhatian kepada saya sendiri. Namun begitu saya juga memainkan peranan saya dalam diam. Lebih baik begitu dari mengeluarkan kenyataan terbuka kepada umum yang boleh memesongkan rakyat tentang isu sebenar yang berlaku pada waktu itu. Cara saya berbeza, contohnya bila saya berjumpa dengan penganjur penting saya akan luahkan pandangan saya.
No comments:
Post a Comment
Mind your language and no sensitive comments. Thanks.