Saturday, January 22, 2011

Masalah Buang Bayi di Malaysia

Masalah Buang Bayi di Malaysia

Sejak kebelakangan ini kejadian membuang bayi banyak berlaku. Malahan setiap hari pasti ada laporan akhbar dan media elektronik. Melihat grafik yang dipaparkan dalam laporan berkenaan sungguh menyedihkan kerana ada ibu-bapa yang sanggup membuang anak yang tidak minta dilahirkan. Di manakah hilang sifat keperimanusiaan mereka hingga sanggup bertindak seperti binatang. malahan binatang sendiri pandai menyayangi dan melindungi anak-anak mereka. Secara tidak langsung, gejala sosial membuang bayi ini mengambarkan keadaan masyarakat Malaysia yang semakin rapuh dari segi nilai keagamaan kerana terlalu memberi tumpuan kepada kesenangan dunia semata-mata. Bayi yang dibuang ini kebanyakannya cukup sifat dan sering dibuang di masjid, tong sampah atau di halaman rumah orang. Bagi yang meletakkan bayi di rumah orang, mungkin ibu berkenaan berharap anak tersebut akan diselamatkan dan ada masa depan tetapi ibu yang membunag tetap manusia yang tidak berhati perut. Bayi yang dibuang kadang-kadang sudah tidak bernyawa sehingga ada yang menjadi habuan semut dan binatang lain. Ini bukan sahaja melibatkan membuang anak tetapi juga melibatkan pembunuhan. Di dalam dunia ini, tiada ada agama yang menghalalkan perbuatan membuang anak. Malahan setiap agama menegah penganutnya melakukannya. Dalam Islam, Allah menegah umatNya membuang dan membunuh anak. Allah berfirman seperti berikut:

Katakanlah : "Marilah kubacakan apa yang diharamkan oleh Tuhanmu iaitu jangan mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberikan rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kami mendekati perbuatan keji, baik yang nampak antaranya, mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharam Allah bagi kamu untuk membunuhnya melainkan dengan sesuatu sebab yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahaminya.

(Surah Al-An'aam, Ayat 151)

Jelaslah bahawa Islam mengharamkan perbuatan membuang dan membunuh bayi. Semua ahli masyarakat perlu sama-sama berganding tenaga untuk menangani masalah ini. Di sekolah, memang ada usaha ke arah ini iaitu melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidkan Moral serta penerapan nilai-nilai murni. Penerapan nilai murni melibatkan semua mata pelajaran di sekolah dan ianya usaha kerajaan memberikan kesedaran kepada remaja dan murid sekolah tentangnya.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), mendapati sebanyak 65 kes buang bayi dilaporkan pada tahun 2000. Bilangan ini meningkat kepada 83 kes pada tahun 2007. Selangor menunjukkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). PDRM seterusnya menjelaskan bahawa daripada 83 kes berkenaan, 79 adalah kes buang bayi dan empat kes pembuangan janin (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008 dipetik daripada Laman IKIM). Sementara itu, Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon ketika berucap di Dewan Rakyat menyatakan bahawa sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara tahun 2004 hingga 2007 di mana 117 merupakan bayi lelaki, 96 bayi perempuan. Selebihnya tidak diketahui jantina mereka kerana mayat yang dijumpai telah reput (Metro Ahad, 15 Mac 2009). Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan bahawa sebanyak 50 kes buang bayi dicatatkan pada tahun 2008 (Metro Ahad, 15 Mac 2009). Di antara tahun 2007 hingga 2010 terdapat 407 kes buang bayi yang dilaporkan kepada pihak polis (Harian Metro, 12 April 2010). Peningkatan kes buang bayi ini berkait rapat dengan gejala sosial lain iaitu kelahiran anak luar nikah. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa di antara tahun 2000 hingga 2008. Sekiranya dibuat sedikit pengiraan maka secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan di JPN setiap bulan (83.3 kes pada setiap hari). Aktiviti seks luar nikah dan kes buang bayi sangat berkaitan. Statistik di atas jelas menunjukkan bahawa gejala sosial buang bayi adalah barah masyarakat yang perlu diubati segera. Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen telah menyatakan rasa terkejut dan kecewa beliau kerana ia menunjukkan bahawa akhlak rakyat Malaysia terutama sekali remaja semakin teruk. Beliau seterusnya menegaskan akan berusaha di peringkat kementerian agar gejala sosial buang bayi dapat dihindarkan. Usaha ini juga penting melindungi remaja perempuan yang mungkin menjadi mangsa keadaan semata-mata.

Dalam menangani apa jua gejala atau masalah sosial, langkah pertama adalah menentukan puncanya. Dalam usaha untuk mengesan punca masalah buang bayi ini maka saya telah menghasilkan peta minda yang cuba mengaitkan beberapa gejala sosial yang sering melanda masyarakat terutama sekali pelajar sekolah dan golongan remaja. Seorang ahli sosialogi Amerika yang terkenal, Robert K. Merton  telah mengatakan bahawa salah laku (deviant behaviour) yang remaja lakukan adalah punca kepada masalah sosial. Robert K. Merton telah mengkategorikan salah laku kepada empat kategori iaitu inovasi, ritual, pengunduran dan penentangan (Tattum, 1986). Inovasi adalah salah laku yang remaja lakukan sehingga berjaya mencapai matlamat hidupnya atau menepati kehendak masyarakat. Malangnya cara untuk mencapai kejayaan adalah salah. Remaja mungkin telah menipu atau mencuri untuk berjaya. Ritual pula adalah salah laku yang remaja lakukan berulang kali dan mereka mendapat keseronokan kerana setiap kali dilakukan mereka beroleh kejayaan. Remaja akan terus menerus mencuri dan menipu kerana merasa seronok dengan kejayaan yang diperolehi. Seterusnya, pengunduran adalah salah laku yang melibatkan remaja yang sudah tidak lagi berminat dengan  matlamat hidup dan oleh itu sanggup melakukan apa sahaja sebagai  tindakan balas kepada keresahan yang mereka hadapi. Akhir sekali, penentangan adalah salah laku yang melibatkan pelajar menolak matlamat hidupnya (matlamat sedia ada)   dan menggantikannya dengan matlamat hidup yang baru. Secara umumnya, Merton mengatakan bahawa remaja melakukan salah laku kerana mereka tidak takut melanggar peraturan dan undang-undang asalkan matlamat hidup atau kehendak masyarakat terhadap mereka tercapai walaupun salah.

Di Malaysia, di antara salah laku atau gejala sosial yang sering dilakukan oleh remaja dan juga pelajar sekolah adalah ponteng sekolah dan kelas, vandalisme, merokok, mencuri, membuli, gangsterisme, penyalahgunaan dadah, merempit, pergaulan bebas, menonton bahan lucah, seks luar nikah, pelacuran, buang bayi dan membunuh. Di kalangan remaja Islam pula, selain daripada salah laku bersifat jenayah di atas, remaja Islam juga melakukan kesalahan keagamaan seperti tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak tahu mengangkat hadas besar, tidak tahu membaca al-Quran dan seterusnya. Islam sentiasa menegaskan supaya remaja sentiasa bersembahyang supaya sentiasa ingat pada Allah. Satu peta minda telah saya janakan sebagai satu cara untuk mengenal pasti punca gejala dan masalah sosial di negara kita (lihat Rajah 1). Namun itu, perlu saya tegaskan di sini bahawa penjanaan peta minda ini hanyalah berdasarkan kepada pengalaman dan analisis kritikal saya semata-mata. Mungkin jika ada kajian yang lebih mendalam dan saintifik maka satu perkaitan yang ada kesahan dan kebolehpercayaa dapat dihasilkan.

Dalam menganalisis gejala sosial, saya akan memberi tumpuan kepada dua gelaja sosial iaitu ponteng sekolah dan penyalahan gunaan dadah. Kedua-dua ini pada pandangan saya adalah gejala sosial sangat penting kerana sekiranya mereka dapat dikawal maka kes buang bayi dan anak luar nikah akan dapat dikurangkan. Berdasarkan kepada perkaitan yang dibina, apabila pelajar ponteng sekolah maka kemungkinan mereka akan merokok, mencuri dan bergaul secara di antara lelaki dan perempuan apabila berada di luar sekolah. Tabiat mencuri pula boleh menyebabkan pelajar terjebak ke dalam gangsterisme. Seterusnya, ponteng sekolah, mencuri, pergaulan bebas dan merokok akan menghampirkan pelajar kepada penyalahgunaan dadah. Perhatikan bagaimana apa jua salah laku yang pelajar lakukan, mereka berpotensi untuk menjadi seorang yang terlibat dengan dadah. Penglibatan remaja dengan dadah iaitu sama ada sebagai penagih atau pengedar akan berlaku apabila pelajar sudah tamat persekolahan dan besar kemungkinan sudah pun bekerja. Pada masa ini, mereka juga tidak lagi dikongkong oleh peraturan sekolah dan ibubapa kerana sudah berumur 18 tahun.


 

Penglibatan dengan dadah akan menyebabkan mereka melakukan gejala sosial lain pula seperti menonton bahan lucah, melakukan seks luar nikah dan pelacuran. Setiap satu mempunyai potensi untuk menyebabkan remaja perempuan mengandung dan seterusnya membuang bayi. Penglibatan di peringkat ini sangat serious terutama sekali apabila remaja perempuan terpaksa atau dipaksa melacurkan diri untuk mendapatkan bekalan dadah untuk diri sendiri atau untuk pasangan mereka. Setelah menjadi pekerja seks, remaja mungkin tidak mengamalkan perlindungan menyebabkan kehamilan dan jika tiada kesanggupan dan tidak pasangan maka mereka berpotensi untuk membuang bayi mereka. Sementara itu, kegemaran sesetengah remaja menonton bahan seks juga akan menyebabkan mereka terlibat dengan seks luar nikah bersama pasangan mereka yang belum isteri sah seperti kekasih atau tunang. Oleh kerana sudah hilanga pertimbangan maka mereka akan memujuk kekasih untuk melakukan perhubungan haram. Sekiranya pihak lelaki sedia bertanggungjawab dengan menikahi pasangan maka masalah mereka mungkin telah selesai. Namun begitu, besar kemungkinan mereka belum bersedia untuk berkahwin. Malangnya kandungan semakin besar dan akhir dilahirkan juga ke dunia. Si ibu terpaksa menghadapinya semua sendiri kerana pasangan sudah hilang entah ke mana dan sudah tidak mahu bertangungjawab. Jika tiada yang menolong kerana takut atau malu maka mereka akan melahirkan bersendirian dan akan membuang kandungan mereka itu. Senario di atas adalah satu daripada pelbagai senario lain yang menjadi punca kepada gejala sosial membuang bayi ini.

    Tiada siapa yang berani mengatakan bahawa scenario di atas tidak berlaku walaupun terdapat banyak kemungkinan lain yang boleh menyebabkan remaja wanita membuang anak. Terdapat juga laporan yang mengatakan remaja atau wanita yang membuang anak mungkin mangsa rogol yang tidak mendapat pembelaan masyarakat. Mereka mungkin malu kerana masyarakat masih lagi memandang serong terhadap mereka. Ada ahli masyarakat tidak menganggap mereka sebagai mangsa tetapi seorang pesalah pula. Satu lagi kemungkinan kepada kes buang anak adalah ahli keluarga yang terlalu ramai dan keluarga tidak mampu dan tiada pula saudara mara yang sudi mengambil anak angkat maka mereka juga mungkin membuang anak.

    Persoalannya sekarang apakah yang boleh dilakukan untuk menangani perbuatan membuang anak ini daripada berterusan berlaku. Di manakah harus kita bermula? Adakah penumpuan harus dimulakan semasa pelajar masih di bangku sekolah atau sesudah remaja dan bekerja atau kita tumpukan sahaja remaja perempuan yang sudah hamil dan menunggu saat untuk melahirkan sahaja? Pada pandangan saya setiap satu tahap masalah perlu ditangani dengan berhemah supaya setiap remeja di tahap yang tertentu itu mendapat pembelaan sewajarnya. Adalah tidak adil bagi masyarakat untuk hanya memberi segala tenaga dan kewangan untuk mengatasi masalah di sekolah dengan harapan mereka akan menjadi manusia yang bebas masalah tetapi remaja yang sedang bermasalah di luar sana dibiarkan sahaja tanpa sebarang pembelaan. Berdasarkan kepada pandangan ini maka ingin saya utarakan pendekatan yang mungkin dapat mengatasi gejala sosial dengan memberi tumpuan kepada tahap-tahap permasalahan ini.

    Usaha untuk menanganinya, usaha dan tumpuan perlu dimulakan di sekolah lagi. Sebagai institusi pendidikan, sekolah ada peranan untuk membina masyarakat. Ia bukan sahaja untuk melahirkan manusia yang berilmu pengetahuan yang menguasai kemahiran proses tertentu tetapi perlu lengkap dengan nilai-nilai murni dan keagamaan sebagai persediaan menjadi ahli masyarakat. Sebetulnya kurikulum Malaysia sangat sempurna untuk mendidik rakyat Malaysia menjadi insan kamil. Segalanya tertera jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Yang menjadi persoalannya adalah kemampuan dan kesediaan guru untuk melaksanakannya sama ada di dalam kelas atau di luar kelas. Guru sememangnya dilatih ke arah itu dan jika mereka dapat melaksanakan amanah ini dengan baik berpaksikan FPK dan Rukun Negara maka saya percaya apa jua masalah pasti dapat diselesaikan. Namun situasi ideal sebegini belum lagi tercapai. Masih banyak yang dirancang dan dilakukan oleh kita semua. Oleh yang demikian, gejala sosial yang melanda negara perlu diselesaikan mengikut kes dan situasi semasa satu per satu. Berdasarkan analisis awal, bolehlah diandaikan punca utama salah laku dan seterusnya penularan gejala sosial di kalangan remaja adalahmasalah ponteng sekolah dan ponteng kelas. Saya mengatakan di sini, sekira kita dapat menyelesaikan masalah ini di akar umbi sebelum ia tumbuh melata maka peluang untuk menyelesai masalah sosial yang lain sangat baik. Segala usaha hendaklah diambil untuk memastikan semua pelajar di umur persekolahan berada di sekolah. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada guru sahaja tetapi perlu dilakukan oleh ibu-bapa, jiran, orang ramai dan polis. Guru sentiasa sentiasa dilatih untuk mengambil berat tentang murid mereka. Ibu-bapa pula perlu memantau pergerakan anak-anak dengan memastikan anak-anak benar-benar berada di sekolah, jiran perlu "menjaga tepi kain orang" kerana jiran tidak boleh lagi berdiam diri jika mengetahui anak jiran yang tidak ke sekolah. Orang ramai dan ahli masyarakat perlu sama-sama menegur setiap pelajar sekolah yang berada di bandar, pantai, cyber-cafe dan sebagainya walhal mereka sepatutnya berada di sekolah. Seterusnya pihak polis perlu sentiasa dihubungi jika ada sebarang masalah kerana PDRM adalah satu pasukan professional yang sentiasa bersedia untuk membantu. Selain daripada itu masalah keciciran juga perlu di atasi. Kanak dan remaja di antara umur 7 ke 17 tahun perlu berada di sekolah. Jika mereka pada umr ini tidak berada sekolah maka ada sesuatu yang tidak kena dan perlu diperbetulkan. Apabila kanak-kanak dan remaja semuanya berada sekolah maka gejala-gejala sosial seperti merokok, mencuri, pergaulan bebas antara dan gangsterisme dapat dikawal dan seterusnya dapat dihindarkan. Peristiwa di sebuah sekolah di Jalan Garing di Rawang adalah satu contoh di mana tiada kerjasama di antara sekolah, ibu-bapa, jiran, orang ramai dan polis. Terdapat ibu-bapa yang tidak sedar bahawa anak mereka tidak ke sekolah walaupun tiap-tiap hari menaiki bas ke sekolah, jiran pula tidak mahu mengambil tahu kerana takut dituduh campur tangan, guru pula merasa tertekan untuk mengambil tindakan ke atas pelajar kerana ibu-bapa tidak mempercayai guru dan menuduh guru hanya mahu menganiaya anak mereka sahaja dan pihak polis yang tidak dapat bertindak kerana tiada pihak yang datang membuat laporan polis. Polis tidak boleh membuat penyiasatan tanpa laporan rasmi.

    Selain menangani masalah di sekolah, usaha juga perlu dilakukan untuk medekati remaja yang sudah tamat persekolahan, sudah bekerja atau sedang belajar di IPTA atau IPTS. Remaja di peringkat umur ini, sangat mudah terjebak kepada satu lagi gejala sosial iaitu penyalahan gunaan dadah. Banyak kesalahan jenayah dan salah laku bermula apabila remaja mula menagih dadah seperti yang digambar dalam Rajah 1. Kes buang bayi misalnya tidaklah 100% berpunca daripada penyalahangunaan dadah tetapi salah guna dadah sangat berbahaya. Impaknya sangat kuat ke atas remaja kerana itulah ianya di namakan sebagai musuh nombor satu negara. Sekiranya dapat kita atasi gejala najis dadah ini sepenuhnya maka kes buang bayi juga dapat dibasmikan. Malangnya sehingga hari ini penyalahan gunaan dan penagihan dadah tidak dapat dihapuskan. Seperti juga dengan sekolah, remaja di antara umur 18 tahun ke 23 tahun seharusnya berada di IPTA, IPTS, pusat latihan, kolej komuniti dan sebagainya. Dewasa ini terdapat banyak pusat dan institut yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka dalam umur 18 ke 23 tahun. Sekali lagi, ibu-bapa perlu mengusahakan agar anak-anak mereka memasuki institusi ini. Kerajaan telah menyedia kemudahan yang banyak maka masyarakat hendaklah memastikan remaja berada di sini agar mereka tidak terlibat dengan gejala sosial yang tidak diingini.

Setelah kita tangani punca permasalahan maka jangan kita lupa remaja yang sedang menghadapi masalah – remaja perempuan yang sedang hamil. Bagaimana remaja boleh membuang anak jika mereka tidak dihamilkan. Bagaimana remaja dalam umur muda dan belum berkahwin boleh hamil? Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Yang pasti mereka kehamilan pada usia muda ini tidak sepatutnya berlaku. Satu kemungkinan adalah kerana pergaulan bebas mereka di antara jantina tanpa batasan dan kawalan. Pergaulan ini akhirnya akan membawa kepada seks luar nikah. Remaja perempuan yang hamil sama ada dengan kerelaan sendiri atau pun kerana terpaksa hendaklah diselamatkan. Jika tidak mereka kemungkinan mereka membuang bayi sangat tinggi. Oleh itu ibu-bapa jangan benarkan mereka bebas bergaul tanpa batasan. Seorang penulis blog telah menceritakan 9 bulan selepas majlis-majlis istimewa akan adalah laporan remaja melahirkan anak atau membuang anak. Ini menunjukkan bahawa semasa majlis istimewa ini seperti Hari Valentine, Sambutan Tahun Baru, Sambutan Ulang Tahun Kelahiran dan sebagainya mereka telah melakukan seks tanpa nikah dan tanpa perlindungan. Mungkin kerana layanan pasangan atau janji yang ditaburkan maka mereka akhir terperdaya akhirnya. Oleh itu, masyarakat hendaklah memastikan hari-hari istimewa sebegini tidak diberikan gambaran yang indah dan bersifat komersial terutama sekali oleh media sehingga ramai remaja yang tertipu. Kadang-kadang iklan Hari Valentine ini dimainkan di akhbar dan media elektronik yang memberikan isyarat yang salah kepada remaja.

Seterusnya jika semua usaha gagal maka masyarakat harus berhadapan dengan remaja hamil itu sendiri. Pada masa ini kenapa dan siapa yang bertanggungjawab tidak penting kerana remaja hamil itu perlu dibantu sehingga mereka selamat melahirkan. Remaja hamil ini tidak harus dibiarkan berhadapan dengan masalah, ketakutan, rasa bersalah dan malu bersendirian. Ibubapa perlu melakukan yang terbaik supaya anak mereka dapat diselamatkan dan bayi yang dikandung juga dapat diselamatkan kerana bayi berkenaan tidak bersalah. Remaja elok dihantar ke rumah perlindungan wanita supaya mereka dapat menghabiskan masa dengan baik sebelum melahirkan. Masyarakat perlu menyokong kewujudan rumah perlindungan begini dengan memberi sumbangan kewangan atau kepakaran. Remaja hamil kebanyakan tidak ada kemahiran dan kelulusan yang baik. Oleh yang demikian, mereka hendaklah diberikan latihan sewajarnya supaya selepas bersalin mereka dapat menjadi ahli masyarakat yang berguna. Bayi yang dilahirkan bolehlah diserahkan untuk dijadikan anak angkat oleh keluarga yang baik-baik. Pasangan kekasih itu perlu dihadapkan ke muka keadilan supaya mereka mendapat balasan yang setimpal.

Yang pasti, gejala buang bayi adalah gejala sosial yang sangat sukar dibenteras seperti penyalahan gunaan dadah. Dengan mengenal pasti dan mamahami punca masalah tersebut maka peluang untuk menyelesaikannya adalah baik. Pendidikan yang baik terutama sekali pendidikan agama dan nilai murni perlu diterapkan supaya pelajar sekolah dan remaja tidak mudah terperangkap dengan arena kemajuan yang sering membawa kesan negatif yang sekira silap perkiraan akan merosak kehidupan mereka juga.

No comments:

Post a Comment

Mind your language and no sensitive comments. Thanks.