Wednesday, May 18, 2011

GURU ....SIAPA YANG BELA PENSYARAH UNIVERSITI??????

Guru sekolah rendah kecewa
Oleh Matzidi Dris, Osman Lisut dan Faizatul Farhana Farush Khan
bhnews@bharian.com.my
2011/05/18

Majlis minta agihan insentif menyeluruh


KUALA LUMPUR: Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) meminta satu kajian dibuat Kementerian Pelajaran berhubung insentif diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, kerana ia meminggirkan warga pendidik sekolah rendah.

Yang Dipertuanya, Roslan Madon, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan insentif kepada guru besar dan guru di sekolah rendah serta Sekolah Kurang Murid (SKM).

"Nyata, kerajaan terlepas pandang warga pendidik di sekolah rendah, walhal alam persekolahan bermula di sekolah rendah. Kenapa jasa warga 7,900 pendidik sekolah rendah tidak diambil kira," katanya.

Sempena Hari Guru, kelmarin, Najib mengumumkan guru terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) berpeluang menikmati kenaikan pangkat hingga ke gred DG54 berbanding setakat gred DG48 sekarang, mulai 1 Januari depan, selain berpeluang mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Beliau juga mengumumkan guru kini diklasifikasi kepada empat kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Guru Pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54.

Selain itu, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah gred DG48 ke DG52, manakala semua Guru Penolong Kanan (GPK) Sekolah Menengah dinaikkan dari DG44 ke DG48. Bagi GPK sekolah rendah kluster, mereka dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34.
Roslan berkata, GMGBM akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran tidak lama lagi bagi meminta supaya guru besar dan guru sekolah rendah turut diberikan insentif bagi menaikkan semangat serta motivasi mereka.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga mahu mengadakan pertemuan dengan Najib dalam masa terdekat berhubung pemberian insentif itu.

Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng, berkata ia bagi membincangkan tuntutan dikemukakan NUTP kepada kerajaan sebelum ini tetapi tidak dilaksanakan.

"Kami juga akan menyuarakan kekecewaan kami kerana insentif yang diberikan tidak membabitkan guru sekolah rendah dan menengah," katanya.

Di KUCHING, Jawatankuasa Bersama Kesatuan Persatuan Guru Malaysia (JBKPGM) menyifatkan insentif diumumkan kerajaan tidak adil kepada masyarakat guru keseluruhannya kerana ia hanya membabitkan guru berijazah di sekolah menengah.

Naib Pengerusi JBKPGM, William Ghani Bina, berkata insentif itu langsung tidak membabitkan guru bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan 160,000 guru yang mengajar di 7,800 sekolah rendah.

Oleh itu, JBKPGM yang mengadakan Mesyuarat Tergempar di Kuching, malam kelmarin, memutuskan meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula kaedah baru kenaikan pangkat guru yang diumumkan kelmarin.

Ghani berkata, JBKPGM juga berkata beberapa permintaan dikemukakan mereka terlepas pandang. Antaranya, elaun khas untuk Pengetua sebanyak RM600 dan Guru Besar RM500 kerana penyandang jawatan itu hanya menerima RM150 dan RM100 sekarang.

"Elaun yang mereka terima selaku ketua di sekolah terlalu rendah berbanding dengan elaun guru dilantik sebagai warden asrama iaitu RM280 untuk Ketua Warden dan RM240 bagi Guru Warden, selain RM250 untuk Guru Pendidikan Khas," katanya.

1 comment:

  1. Bukan mudah untuk puaskan hati semua orang ....

    ReplyDelete

Mind your language and no sensitive comments. Thanks.