Friday, March 30, 2012

KILANG MEMPROSES `RARE EARTH’ MEMBIMBANGKAN PENDUDUK GEBENG, PAHANG

KILANG MEMPROSES `RARE EARTH' MEMBIMBANGKAN PENDUDUK GEBENG, PAHANG


 

Written by Foon Weng Lian   

Friday, 08 April 2011 11:14

Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan permohonan syarikat Lynas Corporation Ltd  untuk membina sebuah kilang memproses dan penapisan 'rare earth' yang diimport daripada Australia di Gebeng, Pahang. Tindakan ini telah menimbulkan bantahan daripada penduduk setempat terhadap projek ini kerana bahan 'rare earth' yang bakal diimpot dari Australia itu dikatakan mengandungi bahan radioaktif.

Menurut laporan berita New York Times, seramai 2,500 orang pekerja terlibat dalam pembinaan kilang tersebut yang menelan sebanyak  AS$230 juta. Dalam masa yang sama proses perundingan dengan penduduk setempat masih berjalan.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Rare Earth'? 'Rare Earth' ialah satu set bahan galian yang terdiri daripada 17 elemen-elemen ataupun logam yang terletak di dalam jadual berkala kimia. 'Rare Earth' ataupun bahan galian yang jarang ditemui, diberi nama ini disebabkan ia tidak dapat dikesan dan digali dalam jumlah yang banyak.

Elemen-elemen 'Rare Earth' yang terdapat dalam jadual berkala kimia adalah Scandium, Yttrium, Lanthanum, Cerium, Praseodymium, Neodymium, Promethium. Samarium, Europium, Gadolinium, Terbium, Dysposium, Holmium, Erbium, Thulium, Ytterbium dan Lutetium. 'Rare Earth' banyak terdapat di China, Amerika Syarikat dan Australia.

Namun begitu, kerajaan China telah mengeluarkan arahan untuk menghadkan eksport 'rare earth'. Langkah ini telah menyebabkan harga bahan tersebut meningkat hingga memecah rekod tertinggi. Oleh sebab itu, negara-negara lain sedang cuba sedaya-upaya untuk mencari jalan alternatif untuk mendapatkan 'rare earth' ini. 

Keadaan ini juga menggesa syarikat perlombongan Austalia iaitu Lynas untuk menyiapkan kilang tersebut di Gebeng itu, yang dilaporkan boleh menyumbang kepada hampir satu pertiga daripada permintaan dunia terhadap bahan ini.

Menurut Lynas, kilang tersebut akan menghasilkan tiga jenis produk mineral sintetik seperti sintetik gypsum, gypsum yang dikayakan oleh magnesium (tidak mengandungi bahan radioaktif), logam phosphogypsum yang mengandungi thorium semulajadi (mengandungi bahan radioaktif yang rendah). Lynas akan menukarkan bahan-bahan yang telah diproses ini menjadi bahan yang selamat dan boleh digunakan sebagai bahan untuk penyelidikan dan pembangunan.

Bagi pengurusan sisa-sisa buangan daripada kilang tersebut, Lynas akan memberikan dana yang mencukupi kepada kerajaan untuk memastikan pengurusan yang lengkap dan selamat.

Bahan galian `Rare Earth' merupakan komponen yang paling penting dalam produk teknologi bersih dan hijau seperti panel tenaga suria, bateri dan juga turbin angin yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik. Hampir 300kg neodymium diperlukan menghasilkan turbin angin yang berskala besar.

Selain itu, hampir semua peralatan elektrik yang digunakan dalam kehidupan harian juga mengandungi 'rare earth' seperti:
• iPods - Dysprosium, neodymium, praseodymium, samarium, terbium
• Gentian optik (Fibre optics) - Erbium, europium, terbium, yttrium
• Turbin angin - Dysprosium, neodymium, praseodymium, terbium
• Mentol Lampu yang kecekapan tenaga - Europium, terbium, yttrium
• Kenderaan 'hybrid' - Dysprosium, lanthanum, neodymium, praseodymium
• Televisyen - Europium, terbium, yttrium.

Aktiviti melombong dan memproses bahan 'rare earth' boleh mendatangkan banyak impak negatif kepada alam sekitar. Di peringkat pemprosesan, `air toxic' diperlukan untuk tujuan tersebut.

Pada tahun 1985, kilang Asian Rare Earth telah dibina oleh Mitsubishi Chemical di Bukit Merah, Perak. Akibat daripada risiko yang dikenal pasti kesan daripada pendedahan bahan radioaktif dan pencemaran kepada alam sekitar dan penduduk setempat, maka kilang tersebut telah dihentikan operasinya pada tahun 1992 apabila bantahan yang berterusan oleh penduduk setempat.

Namun, kesan yang ditinggalkan oleh kilang tersebut adalah teruk dan sukar dilupakan. Untuk tujuan pembersihan kilang dan bahan kimia yang digunakan dalam kilang itu, Mitsubishi Chemical telah membelanjakan hampir AS$100 juta dan kerja pembersihan masih berjalan sehingga kini. Selain itu, dalam masa lima tahun selepas kilang tersebut menghentikan operasinya , seramai lapan orang telah dijangkiti penyakit leukimia dan tujuh orang daripadanya telah meninggal. Kes kecacatan semasa kelahiran juga berlaku dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut.

Pada tahun 1990-an, tapak perlombongan dan pemprosesan di Mountain Pass, Amerika Syarikat menghasilkan beratus-ratus liter air buangan yang mengandungi elemen-elemen radioaktif daripada thorium dan uranium yang terdapat secara semula jadi dalam 'rare earth' dan mencemari kawasan sekitarnya.

Kini, dengan pembelian semula tapak perlombongan itu oleh Molycorp, syarikat tersebut akan melaburkan sebanyak AS$500 juta untuk membersihkan dan menaik taraf tapak tersebut. Selain itu, Molycorp juga akan membina satu stesen janakuasa yang menggunakan gas asli untuk kegunaan tapak itu. Air buangan yang dihasilkan juga akan dikitar semula untuk menghasilkan asid hidroklorik dan natrium hidroksida yang diperlukan untuk mengasingkan 'rare earth' semasa pemprosesan. Keperluan air untuk tapak itu juga hanyalah 10% daripada kadar penggunaan dulu.  

Persoalan yang timbul daripada projek Lynas ialah:

  1. Kenapakah kerja-kerja pembinaan kilang tersebut dilakukan semasa sesi perundingan masih dijalankan dengan penduduk setempat?
  2. Adakah kajian impak alam sekitar (Environment Impact Assessment, EIA) telah dijalankan untuk projek ini?
  3. Menurut akhbar The Star, Lynas akan menyediakan dana untuk pengurusan sisa-sisa buangan daripada kilang itu kepada kerajaan. Berapakah jumlah dana tersebut?
  4. Laporan Jabatan Alam Sekitar,  Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia perlu diumumkan kepada rakyat, terutamanya penduduk setempat dan bukannya antara agensi-agensi kerajaan dan Lynas sahaja.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WECAM)

No comments:

Post a Comment

Mind your language and no sensitive comments. Thanks.